Jangan Jadi Pemimpin Adat

Janganlah jadi pemimpin adat
Beriman di mulut, hati berlumut
Lidah bercabang, langkah menyilang
Cakap berlecoh, perangai tak senonoh
Tamak harta mabuk dunia
Loba pangkat, lupa akhirat
Kemaruk puji, lupa diri
Ke tengah memfitnah, ke tepi mendengki
Ke laut menghasut, ke darat mengumpat
Ke hulu menipu, kehilir menyindir
Ke atas mengampu, ke bawah melapah
Ke gunung menyombong, ke lurah menista
Berkawan dengan syaitan, berguru dengan nafsu
Beraja pada selera, bersahabat pada maksiat
Berlabuh pada yang tak senonoh
Berhenti pada yang keji
Bergantung pada yang serong
Berpijak pada yang merosak
Bersandar pada yang ingkar
Berumah pada yang salah.                                

Bekerja malas, memimpin culas
Bersusah malu, berpahit tak mahu
Berbual menjual, menolong sombong
Berjanji ingkar, bersumpah mungkar
Diberi tuah kerja menyalah
Diberi daulat lupakan umat
Diberi kuasa lupakan bangsa
Diberi petuah lupakan maruah
Diberi ingat umpat mengumpat
Diberi beban mencari ringan
Bila tinggi lupa diri
Bila rendah berkeluh kesah
Bila senang lupakan orang
Bila kaya merajalela.

Bila senang tidak memandang
Ketika susah menyembah-yembah
Ketika kaya tak ingat saudara
Ketika melarat mencari sahabat.

Pemimpin adat jangan janji tidak diisi
Berpesan tidak diturutkan
Menjemput tidak diikuti
Kerana kedekut lupakan pengikut
Kerana dunia lupakan usia
Kerana selera lupakan amanah
Mengejar pengaruh mau bergaduh
Mengejar dunia mau menganiaya.

Ke atas jangan mengampu
Ke bawah jangan memalu
Ke atas memuji ke bawah jangan mengeji
Ke atas menjilat ke bawah jangan menyebat
Mengukur biarlah seukur
Menghukum jangan memilih kaum
Memakai jangan pada tak sesuai
Menyuruh jangan tidak senonoh
Memerintah biarlah semenggah
Dalam mesyuarah jangan berbantah-bantah
Dalam helat jangan cacat mencacat
Sesama keluarga jangan laga melaga
Sesama lawan jangan makan memakan
Sesama sahabat jangan sebat menyebat
Sesama bangsa jangan paksa memaksa
Sesama anak buah jangan dilupa.

Dato’ Dr. Mohd Rosli B. Saludin

Kita Bina Hidup Ini

Kita bina hidup ini

dengan kecukupan bukan dengan kelebihan
dengan kejayaan bukan dengan kecemerlangan
dengan kemudahan bukan dengan kesenangan
dengan keperluan bukan dengan kemahuan
dengan kebaikan bukan dengan kesempurnaan
dengan kekayaan bukan dengan kemewahan
dengan kesediaan bukan dengan ketahuan.

Kita bina hidup ini
bukan dengan manisnya janji tapi dengan pahitnya mengotakannya
bukan dengan indahnya kata tapi dengan sukarnya menyuarakannya
bukan dengan tingginya darjat tapi dengan payahnya memikulnya
bukan dengan banyaknya ilmu tapi dengan kurangnya mendiamkannya
bukan dengan panjangnya nyawa tapi dengan pendeknya mensia-siakannya.

Kita bina hidup ini
dengan mimpi menjadi nyata bukan dengan nyata bertukar mimpi
dengan angan menjadi cita bukan dengan cita bertukar angan
dengan beri menjadi jujur bukan dengan jujur bertukar beri
dengan nokhtah menjadi langkah bukan dengan langkah bertukar nokhtah.

Kita bina hidup ini
bukan untuk terus hidup
tapi untuk hidup seterusnya.


( Mustafa Shamsuddin, Amman Jordan
Berita Minggu, 14 Feb 2010 }

Pemimpin

Yang bernama pemimpin adat
Hukumnya menyelesaikan
Yang kusut diselesaikan
Yang keruh dijernihkan
Yang berbonggol diratakan
Yang kesat diampelaskan
Yang bengkok diluruskan
Yang menyalah dibetulkan
Yang renggang dirapatkan
Yang sumbing dibaikkan
Yang jauh didekatkan
Yang terkurung dikeluarkan
Yang tersepit dilepaskan
Yang teraniaya dibebaskan
Yang hilang dicarikan
Yang sakit diubatkan.

Yang bernama pemimpin adat
Harus menjadi suluh dalam gelita
Menjadi penawar penolak bisa
Menjadi penenang dalam duka
Menjadi penyejuk dalam derita
Menjadi penyabar dalam murka
Menjadi benteng dusun dan kampung
Menjadi pagar teluk dan tanjung.

Karam di laut menjadi pelampung
Panas di darat jadi penaung
Basah di hilir jadi penudung
Patah di hilir jadi penyambung.

Dato’ Dr. Mohd Rosli B. Saludin

CARA EDIT "LEADING SPACE"

Data yang di"copy" atau dimuat turun secara langsung daripada sebarang laman web selalunya dalam format csv. Apabila kita cuba untuk formulakan data ini kita gagal seolah-olah cell tidak aktif, contohnya apabila data markah pelajar dimuat turun dari Sistem SAPS dan cuba dimanipulasikan untuk tujuan tertentu.

Hal ini terjadi kerana terdapat ruang di hadapan setiap data/markah yang menghalang formula yang dibuat gagal untuk berfungsi. Cara paling mudah untuk edit leading space ialah dengan menggunakan  Tool ASAP Utilities yang boleh di download di asap-utilities.com 

Setelah di install, akan wujud menu Asap Utilities di ribbon.


Markah pelajar yang hendak diauto sumkan tidak berfungsi

Langkah pertama, kita perlu "highlight"kan range markah pelajar. Seterusnya klik menu Asap Utilities > klik text > pilih pilihan ke-11. (delete leading,trailing and excessive space)


Dalam tempoh beberapa saat proses untuk nyahkan "leading space" selesai, setelah selesai proses tersebut cell untuk kita auto sumkan markah pelajar dapat berfungsi. Selamat mencuba.

STANDARD KOMPETENSI KEPENGETUAAN SEKOLAH MALAYSIA


Sepanjang kerjaya saya sebagai seorang wartawan, saya tidak pernah melihat sekolah yang baik dipimpin oleh pengetua yang lemah, atau sekolah yang lemah dipimpin oleh pengetua yang baik. Saya telah melihat sekolah- sekolah yang tidak berjaya diubah menjadi sekolah-sekolah berjaya, dan kesalnya, sekolah-sekolah terkemuka merosot dengan cepat. Bagi setiap kes, jatuh bangunnya sesebuah sekolah dengan mudah boleh dikaitkan dengan kualiti pengetua.

Fred M. Hechinger




PENGENALAN

Tugas dan tanggungjawab mengurus dan memimpin sesebuah sekolah menengah atau sekolah rendah, amat kompleks dan mencabar. Pengetua dan guru besar sebagai peneraju sekolah hendaklah bersedia melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran menangani cabaran dunia pendidikan. Persiapan yang mantap membolehkan pengetua dan guru besar menggabungjalinkan segala bidang-bidang pengurusan kurikulum, kokurikulum, organisasi dan sebagainya bagi melahirkan pendidikan berkualiti dan sekolah berkesan. Dalam konteks ini Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM) dapat dijadikan suatu piawaian minimum yang perlu ada pada pengetua dan guru besar sekolah.


STANDARD KOMPETENSI KEPENGETUAAN SEKOLAH MALAYSIA

Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM) digubal berteraskan kepada Rukun Negara, Wawasan 2020, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta berlandaskan teori-teori yang berkaitan pendidikan kini. SKKSM menyediakan standard kompetensi dalam sembilan bidang iaitu:

1. Pengurusan dan Kepimpinan Organisasi;
2. Pengurusan Kurikulum;
3. Pengurusan Kokurikulum;
4. Pengurusan Hal Ehwal Murid;
5. Pengurusan Kewangan;
6. Pengurusan Pentadbiran Pejabat;
7. Pengurusan Persekitaran dan Kemudahan Fizikal;
8. Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia; dan
9. Pengurusan Perhubungan Luar.