Kajian-kajian pendidikan telah
membuktikan bahawa elemen terpenting yang akan menentukan sama ada seseorang
pemimpin sekolah dikategorikan sebagai efektif atau sebaliknya diukur kepada
kemampuan mereka melaksanakan tugas sebagai pemimpin instruksional (Buckner, 2011;
Fullan, 2002; Leithwood & Levin, 2010; Hallinger, 2008, 2011; Ishak, 2004).
Dengan kata lain, guru besar yang
efektif dan berupaya membawa kejayaan kepada sesebuah sekolah mesti memberi fokus utama untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu pengajaran di bilik darjah
ke tahap yang maksimum (Christie, 2000; Fullan, Hill, & Crevola, 2006;
Glickman, Gordon & Ross-Gordon, 2004; Horng & Loeb, 2010).
Kajian perbandingan antara
sekolah berkesan dan sekolah tidak berkesan mendapati pemimpin di sekolah
berkesan mengamalkan kepemimpinan instruksional yang lebih nyata berbanding sekolah kurang berkesan
(Marzano et al., 2005; Nor Asikin, 2009).
Antara perkara yang perlu diberi
perhatian oleh guru besar ialah fokus terhadap usaha untuk meningkatkan
pengetahuan dan kemahiran guru-guru secara berterusan (Blase & Blase, 2000;
Glanz, 2006; Glickman, 2002; Horng& Loeb, 2010), bukan hanya memberi
penumpuan terhadap tugas-tugas pentadbiran sekolah yang rutin sahaja (Glickman,
Gordon, & Ross-Gordon, 2005; Packard, 2011).
Hallinger dan Murphy (1985, 1987)
telah mengkonsepsikan kepemimpinan instruksional sebagai tingkah laku dan
tindakan-tindakan guru besar yang meliputi merangka matlamat sekolah, memantau
pengajaran guru, menyelaras kurikulum, mengawas kemajuan murid, mengawal masa
pengajaran, menggalakkan perkembangan profesional guru, sentiasa kelihatan
dalam kawasan sekolah, menyediakan ganjaran untuk guru dan menyediakan insentif
untuk murid.
Berikut adalah kaji selidik untuk
dijadikan profil kepimpinan instruksional dalam kalangan guru besar di negeri
Perlis. [SINI]