STANDARD KOMPETENSI KEPENGETUAAN SEKOLAH MALAYSIA


Sepanjang kerjaya saya sebagai seorang wartawan, saya tidak pernah melihat sekolah yang baik dipimpin oleh pengetua yang lemah, atau sekolah yang lemah dipimpin oleh pengetua yang baik. Saya telah melihat sekolah- sekolah yang tidak berjaya diubah menjadi sekolah-sekolah berjaya, dan kesalnya, sekolah-sekolah terkemuka merosot dengan cepat. Bagi setiap kes, jatuh bangunnya sesebuah sekolah dengan mudah boleh dikaitkan dengan kualiti pengetua.

Fred M. Hechinger




PENGENALAN

Tugas dan tanggungjawab mengurus dan memimpin sesebuah sekolah menengah atau sekolah rendah, amat kompleks dan mencabar. Pengetua dan guru besar sebagai peneraju sekolah hendaklah bersedia melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran menangani cabaran dunia pendidikan. Persiapan yang mantap membolehkan pengetua dan guru besar menggabungjalinkan segala bidang-bidang pengurusan kurikulum, kokurikulum, organisasi dan sebagainya bagi melahirkan pendidikan berkualiti dan sekolah berkesan. Dalam konteks ini Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM) dapat dijadikan suatu piawaian minimum yang perlu ada pada pengetua dan guru besar sekolah.


STANDARD KOMPETENSI KEPENGETUAAN SEKOLAH MALAYSIA

Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM) digubal berteraskan kepada Rukun Negara, Wawasan 2020, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta berlandaskan teori-teori yang berkaitan pendidikan kini. SKKSM menyediakan standard kompetensi dalam sembilan bidang iaitu:

1. Pengurusan dan Kepimpinan Organisasi;
2. Pengurusan Kurikulum;
3. Pengurusan Kokurikulum;
4. Pengurusan Hal Ehwal Murid;
5. Pengurusan Kewangan;
6. Pengurusan Pentadbiran Pejabat;
7. Pengurusan Persekitaran dan Kemudahan Fizikal;
8. Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia; dan
9. Pengurusan Perhubungan Luar.

Kepimpinan Instruksional


Kajian-kajian pendidikan telah membuktikan bahawa elemen terpenting yang akan menentukan sama ada seseorang pemimpin sekolah dikategorikan sebagai efektif atau sebaliknya diukur kepada kemampuan mereka melaksanakan tugas sebagai pemimpin instruksional (Buckner, 2011; Fullan, 2002; Leithwood & Levin, 2010; Hallinger, 2008, 2011; Ishak, 2004).

Dengan kata lain, guru besar yang efektif dan berupaya membawa kejayaan kepada sesebuah sekolah mesti memberi fokus utama untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu pengajaran di bilik darjah ke tahap yang maksimum (Christie, 2000; Fullan, Hill, & Crevola, 2006; Glickman, Gordon & Ross-Gordon, 2004; Horng & Loeb, 2010).

Kajian perbandingan antara sekolah berkesan dan sekolah tidak berkesan mendapati pemimpin di sekolah berkesan mengamalkan kepemimpinan instruksional yang  lebih nyata berbanding sekolah kurang berkesan (Marzano et al., 2005; Nor Asikin, 2009).

Antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh guru besar ialah fokus terhadap usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru-guru secara berterusan (Blase & Blase, 2000; Glanz, 2006; Glickman, 2002; Horng& Loeb, 2010), bukan hanya memberi penumpuan terhadap tugas-tugas pentadbiran sekolah yang rutin sahaja (Glickman, Gordon, & Ross-Gordon, 2005; Packard, 2011).

Hallinger dan Murphy (1985, 1987) telah mengkonsepsikan kepemimpinan instruksional sebagai tingkah laku dan tindakan-tindakan guru besar yang meliputi merangka matlamat sekolah, memantau pengajaran guru, menyelaras kurikulum, mengawas kemajuan murid, mengawal masa pengajaran, menggalakkan perkembangan profesional guru, sentiasa kelihatan dalam kawasan sekolah, menyediakan ganjaran untuk guru dan menyediakan insentif untuk murid.

Berikut adalah kaji selidik untuk dijadikan profil kepimpinan instruksional dalam kalangan guru besar di negeri Perlis. [SINI